Wasiat Secara Lisan : Sah Atau Tidak ?

“Arwah ayah semasa hayatnya pernah menyatakan wasiat secara lisan untuk memberikan sebidang tanah di Kedah kepada saya selaku anak sulungnya. Namun berlaku pertikaian dalam kalangan kami sesama ahli waris disebabkan pesanan (wasiat) tersebut dibuat secara lisan.”

Apakah hukum pesanan ini? Adakah sah dari sudut syarak?

Wajibkah kami anak-anak mengikutnya?


Sebagai seorang perunding perwarisan harta pusaka, saya sering terima soalan permasalahan sebegini. Masalah si mati pernah buat wasiat secara lisan semasa hayatnya.

Sebagai disklaimer, dalam perkongisan saya kali ini, saya gunakan terma ‘wasiat’ yang memberi maksud kedua-dua wasiat dan hibah sekali. Ini bagi memudahkan perkongsian ini difahami.

Hakikatnya wasiat dan hibah adalah dua instrumen perancangan harta yang berbeza sama sekali. Boleh baca lanjut di sini.

 

Sejak sekian lama lagi, masyarakat kita telah pun mempraktiskan amalan meninggalkan pesanan berkaitan harta mereka.

Sama ada pesanan tersebut untuk diberikan kepada waris (juga dipanggil sebagai hibah) ataupun pesanan tersebut untuk diberikan kepada bukan waris si pembuat pesanan.

Menjadi satu kebiasaan di saat seorang bapa atau ibu merasakan dirinya sudah di hujung usia, mereka akan membuat ‘wasiat’ untuk mengagihkan harta-harta miliknya kepada anak-anak. 

Wasiat tersebut pula selalunya hanya dibuat secara lisan sahaja. Tiada sebarang dokumen bertulis yang menyokong wasiat tersebut.

Selepas berlaku kematian ibubapa, anak-anak akan duduk dan berbincang tentang kaedah pengagihan harta pusaka arwah. Lalu ketika inilah dibincangkan tentang wasiat atau pesanan arwah.

Jika semua bersetuju maka diagihkanlah mengikut pesanan tersebut. Jika tidak, maka kembali semula agihan mengikut faraid. 

Masalah yang timbul adalah dari sudut pembuktian tentang status wasiat atau pesanan yang hanya dibuat secara lisan tersebut. Adakah benar arwah pernah membuat pesanan tersebut?

Siapakah yang menjadi saksi? 

Hukum berwasiat secara lisan sahaja.

Hukum asal berwasiat secara lisan adalah sah selagi mana ianya tidak mengandungi perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak. Walaubagaimanpun, dalam konteks dunia hari ini, pesanan atau wasiat yang dibuat sebaiknya didokumentasikan dengan baik secara bertulis. 

Ini bagi memudahkan proses selepas berlaku kematian. 

Sebagai contoh di Selangor, di bawah Seksyen 61(3)(b)(v), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, wasiat yang disampaikan secara lisan perlulah dibuktikan dan disahkan oleh Mahkamah Syariah  melalui permohonan perintah pengesahan wasiat.

Perintah pengesahan wasiat akan mengambil kira setiap syarat, bukti dan saksi yang jelas ketika wasiat secara lisan itu dibuat. Ke

Oleh itu, wasiat yang dibuat secara lisan, hanya dapat dilaksanakan sekiranya Mahkamah Syariah memberikah pengesahan dan berpendapat bahawa wasiat tersebut adalah sahih. 

Sebaliknya jika Mahkamah Syariah memutuskan bahawa wasiat itu tidak sah, maka kaedah pengagihan harta pusaka arwah perlulah dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak. 

Kesimpulan

Sebenarnya banyak ruang untuk masalah yang boleh berlaku akibat wasiat yang hanya disampaikan secara lisan sahaja dan tanpa dokumen khusus atau dokumen wasiat yang rasmi. 

Mana taknya, apabila berlaku kematian, tiba-tiba salah seorang anak mendakwa, arwah bapa pernah memesan untuk beri sebidang tanah kepadanya selepas arwah bapa mati.

Atau arwah dah pesan nak beri harta sekian-sekian. 

Tetapi waris lain pula tidak mengetahui langsung tentang pesanan tersebut.

Waris-waris lain boleh sahaja mengatakan bahawa beliau ‘memandai-mandai’ sahaja menyatakan arwah bapa ada membuat pesanan (wasiat) tersebut demi nak mendapatkan harta arwah. 

Oleh itu sebaiknya bagi mana-mana individu yang ingin membuat pesanan wasiat ataupun hibah laksanakanlah secara profesional dengan membuat dokumentasi rasmi. Dapatkan bantuan pihak profesional untuk melaksanakan hasrat tersebut. 


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.