Pembahagian Faraid bagi rumah dibeli di atas dua nama suami isteri

SOALAN:
Assalamualaikum, bolehkah saya dapatkan penjelasan, sekiranya rumah yang dibeli atas dua (2) nama (Suami & Isteri) serta loan di atas nama 2 nama juga ( suami dan Isteri) tetapi MRTT hanya ‘cover’ bahagian suami sahaja. Apabila isteri meninggal dunia (tiada MRTT) dan suami sambung bayar hutang bahagian isteri, bagaimana bahagian faraid si isteri diuruskan?

JAWAPAN:
Untuk pastikan pindah milik bahagian arwah isteri boleh dilaksanakan kepada waris faraid atau mana- mana individu , rumah tersebut mestilah bebas hutang.
Oleh itu keseluruhan pinjaman di atas nama suami dan arwah si isteri perlulah diselesaikan agar pindah milik boleh dilaksanakan.

Kaedah penyelesaian:

Pilihan 1: Buat bayaran penuh bagi baki hutang yang mana suami perlu membayar hutang bahagian beliau dan bahagian hutang arwah si isteri dijelaskan melalui pusaka arwah si isteri. Dalam situasi ini, bahagian arwah si isteri masih tertakluk kepada hukum faraid.

Pilihan 2: Wasi atau Pentadbir yang dilantik bagi menguruskan harta pusaka si isteri boleh meminta nasihat daripada pihak bank tentang kaedah terbaik menguruskan pinjaman ini serta pindah milik dilaksanakan tanpa buat full settlement. Ia bergantung kepada persetujuan bank.

Pilihan 3: Pilihan terakhir, dengan persetujuan suami sebagai (co- owner) serta persetujuan semua waris Faraid rumah tersebut dijual. Hasil jualannya bagi bahagian arwah si isteri akan dibahagikan mengikut hukum Faraid.

Jika suami mempunyai wang tunai yang mencukupi, suami boleh membeli bahagian arwah si isteri daripada pusaka beliau dan selesaikan hutang arwah si isteri serta pindah milik kepada suami dilaksanakan.

Kesimpulan 
Tugas wasi bukanlah sekadar menyelesaikan hutang serta melaksanakan pindah milik kepada pihak yang berhak. Tetapi juga perlu memikirkan dan nencadangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan hutang si mati agar hak waris terpelihara.