Hibah Sebagai Instrumen Beri Kepada Isteri

Hibah ataupun Hadiah merupakan satu pemberian harta ataupun manfaat daripada sesuatu harta, yang dilakukan sewaktu hidup secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Pemberian Hibah merupakan satu amalan sunat yang digalakkan di dalam Islam sesuai dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA; ‘Hendaklah kamu saling memberi (Hibah), nescaya kamu akan saling mengasihi’, hadith riwayat Al Bukhari.

Merancang pembahagian harta  melalui Hibah

Pemberian Hibah boleh digunakan sebagai satu instrumen dalam merancang harta pusaka yang boleh dilakukan sewaktu hidup seseorang pemilik harta. Harta yang telah dihibahkan tidak dikira sebagai harta pusaka dan ianya tidak tertakluk kepada pembahagian hukum Faraid selepas kematiannya. Melalui Hibah, pemilik harta dapat merancang pembahagian harta yang dimilikinya sesuai dengan keperluan dirinya ataupun penerima yang diingini.

Di Malaysia, sesuai dengan keadaan serta keperluan zaman kini, pemberian Hibah boleh dilakukan melalui dokumen seperti deklarasi yang mana pindahmilik harta hanya akan dibuat selepas kematian pemilik harta. Pemberi Hibah masih lagi pemilik berdaftar bagi harta tersebut selagimana beliau hidup, sekaligus ianya dapat menjamin kepentingan kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima harta Hibah tersebut.

Bagi menjamin perlaksanaan Deklarasi Hibah (Pri Hibah) dapat dijalankan dengan sempurna selepas kematian pemberi Hibah, as-Salihin telah memastikan setiap rukun dan syarat Hibah dipenuhi baik menurut hukum Syarak mahupun dari sudut perundangan sivil. as-Salihin sebagai Pemegang Amanah kepada harta Hibah akan memastikan proses pindahmilik dilakukan dengan sempurna kepada penerima Hibah selari dengat hasrat dan matlamat pemberi Hibah.

Di samping dapat memberikan aset tertentu kepada penerima tertentu yang diingini,  pemberi Hibah juga dapat menetapkan kadar yang sesuai kepada penerima tertentu mengikut kesesuaian latarbelakang ahli keluarga dan harta yang ditingalkan. Contohnya pemberian rumah kepada isteri atau anak perempuan sahaja, atau pemberian melebihi  kadar 1/3 kepada anak angkat. Selain rumah atau hartanah, pemberian Hibah juga boleh dilakukan ke atas saham perniagaan, akaun simpanan dan unit pelaburan.

Hibah harta dalam cagaran/ pinjaman

Pemberian Hibah bagi harta yang masih dalam cagaran/pinjaman boleh dilakukan selagimana cagaran/pinjaman tersebut dijamin dapat diselesaikan pada waktu pindahmilik hendak dijalankan. Cagaran/pinjaman tanpa sebarang jaminan yang kukuh boleh menyebabkan syarat dan rukun Hibah tidak dipenuhi dengan sempurna sekaligus Hibah tidak dapat dilaksanakan selepas kematian.

Jaminan atau ‘dhaman’ ke atas cagaran/pinjaman mestilah jelas serta pasti dapat menjamin keseluruhan cagaran/pinjaman tersebut. Bagi memastikan pemberian Hibah bagi harta dalam cagaran/pinjaman dapat dilaksanakan dengan sempurna, as-Salihin mensyaratkan cagaran/pinjaman tersebut mestilah dilindungi dengan polisi perlindungan Insurans ataupun Takaful iaitu MRTA/MRTT. Polisi perlindungan tersebut juga mestilah melindungi keseluruhan jumlah pinjaman dan keseluruhan tempoh cagaran/pinjaman.

Kesimpulan

Di samping menyediakan perancangan harta pusaka yang lengkap dan komprehensif, as-Salihin dalam menyediakan instrumen perancangan harta pusaka bagi orang Islam amat menitik beratkan aspek perlaksanaan bagi setiap perancangan yang dibuat. Penelitian dalam setiap perancangan amat penting bagi memastikan matlamat perancangan itu sendiri dapat direalisasikan dan sesuai dengan keperluan masyarakat pada masa kini tanpa mengabaikan aspek hukum Syarak dan perundangan di Malaysia.