Apa Punca Asset RM70 Billion Masih Beku Dan Tidak Dituntut?

Isu pusaka kembali menjadi tajuk hangat menghiasi muka depan surat khabar Metro Ahad awal bulan lalu.

“Waris berbalah tuntut harta: Aset RM70 billion tidak bertuan.”

Metro Ahad

Hakikatnya, angka-angka nilai asset tidak dituntut atau bertuan ini tidaklah begitu tepat. Kerana itu kita melihat ada laporan akhbar yang melaporkan RM60b yang tidak dituntut, ada pula yang kata RM80b.

Ini kerana tidak ada satu organisasi atau agensi pun di Malaysia ini yang mempunyai statistik sebenar mengenai angka tersebut.

Semua hanyalah anggaran.

Cuma, institusi seperti Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil dan Amanah Raya Berhad mungkin mempunyai gambaran umum tentang jumlah harta pusaka yang tidak dituntut ini kerana mereka berurusan secara langsung dengan isu pengurusan harta pusaka.

Walaubagaimanapun, isu harta pusaka yang tidak dituntut ini bukanlah satu isu retorik. Ianya adalah hakikat yang sedang berlaku dan semakin parah setiap tahun.

Faktor nombor satu yang menjadi sebab kepada masalah ini adalah tiadanya kefahaman dan kesedaran; sama ada oleh si pemilik harta ataupun oleh si waris.

Pemilik Harta

Bagi si pemilik harta, mereka biasanya tidak merasakan pentingnya merancang harta mereka.

Selalunya orang sebegini berkemungkinan besar tidak mempunyai kefahaman Islam yang mendalam.

Ini kerana jika mereka faham akan konsep ‘kehidupan’ selepas mati dan konsep saham akhirat pasti mereka akan merancang harta mereka supaya dapat terus memberi manfaat kepada diri mereka walaupun selepas mati; melalui instrumen wasiat, waqaf, hibah dan surat amanah.

Sebagai contoh, saya ambil daripada kes sebenar yang berlaku tahun lepas.

Seorang wanita bertemu dengan salah seorang perunding urus pusaka, berhasrat untuk mewaqafkan RM90,000 kepada sebuah Maahad Tahfiz di Sungai Petani pada awal tahun lepas.

Ditakdirkan Allah, beliau meninggal dunia pada bulan Jun tahun yang sama. Suami arwah yang mengetahui hasrat isterinya melalui dokumentasi perancangan yang telah dibuat, terus melaksanakan wasiat arwah isterinya.

Lebih menarik, apabila si suami hendak menyerahkan duit yang telah diamanahkan kepada Maahad Tahfiz berkenaan, Mudir atau guru besar terkejut dengan nilai yang ingin disumbangkan. Ini kerana pihak Maahad memang telah lama merancang untuk membeli sebidang tanah bagi menambah bangunan Maahad tetapi tergendala kerana tiada dana.

Jadi cuba bayangkan betapa besarnya pahala si arwah yang secara tidak langsung telah membantu pihak Maahad tersebut dan pahalanya terus mengalir selagi mana bangunan tersebut memberi manfaat kepada pelajar maahad di sana.

Dalam pada masa yang sama, si pemilik harta juga selalu beranggapan bahawa, selepas mereka mati, semua waris akan bermuafakat untuk mentadbir harta pusakanya. Dan selalu sangat keluar ayat-ayat sebegini.

“Buat apa nak rancang, hukum faraid kan ada. Ikut jela hukum yang tuhan dah buat tu.”

Boleh jadi mereka tidak faham firman Allah daripada Surah Al-Baqarah, ayat 240.

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.  (Al-Baqarah : 240)

Panduan yang sangat jelas Allah perintahkan kepada mereka yang akan meninggal dunia

Yang lebih melucukan adalah ada segelintir masyarakat yang mengatakan bahawa membuat dokumentasi perancangan harta dengan mana-mana firma pengurusan pusaka seperti Pusaka KUDS Sdn Bhd atau peguam adalah suatu pembaziran.

Lebih baik simpan duit tu.

Orang-orang sebegini pasti tidak pernah menguruskan kes harta pusaka yang rumit dan tiada dokumentasi perancangan yang lengkap.

Kosnya jauh lebih tinggi jika tiada dokumentasi perancangan. 

Kos yang mahal, ditambah pula dengan urusan yang rumit dan memakan masa yang lama, akhirnya waris berputus asa untuk uruskan pusaka arwah. Lalu bertambah lagi harta pusaka yang tidak dituntut dan tidak bertuan.

Gara-gara kelalaian si pemilik harta itu sendiri.

Waris

Perkara yang paling banyak sekali yang sering waris salah faham adalah; harta pusaka tidak perlu diuruskan secepat mungkin. Ada beberapa faktor yang membawa kepada salah faham ini.

Perkara ini seolah telah menjadi satu budaya yang tertanam dalam masyarakat Melayu, bahawa adalah tidak sepatutnya harta pusaka diuruskan secepat mungkin selepas arwah meninggal dunia. Seolah-olah tidak menghormati arwah.

“Tanah kubur arwah pun masih merah lagi!”

Jika ada waris yang nak uruskan pusaka dengan segera, akan segera ditohmah sebagai kebulur nak harta, tidak tahu sabar dan sebagainya.

Waris juga merasakan harta itu tidak akan ke mana dan lambat-laun mereka akan tetap dapat juga bahagian masing-masing.

Ditambah pula dengan kesibukan masing-masing, maka dari hari menjadi bulan menjadi tahun, urusan pusaka tidak selesai-selesai juga.

Lebih parah adalah tiada kesefahaman dan muafakat antara waris untuk menguruskan harta pusaka arwah.

Biasanya waris berbalah atas dua perkara.

Pertama ketika hendak melantik siapa yang sepatutnya diberikan kuasa untuk mentadbir harta pusaka harta dan kedua ketika menuntut bahagian masing-masing.

Masa inilah baru nak ikut hukum Allah, hukum faraid.

Saya pernah menerima satu kes. Di mana seorang lelaki, En S (bukan nama sebenar) bertanya kepada saya, bagaimana hendak menyuruh adik iparnya (isteri kepada arwah adiknya), menguruskan harta pusaka arwah adiknya supaya beliau mendapat bahagiannya juga.

Dari cara En S, beliau seolah ingin memaksa adik iparnya itu menguruskannya secepat mungkin.

Selepas saya dapatkan lebih banyak maklumat tentang harta pusaka arwah dan siapa warisnya, baru saya tahu, rupanya En S sebenarnya tidak betul-betul faham tentang pembahagian faraid.

Ini kerana arwah adiknya meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Jadi, hak faraid En S sebagai saudara seibu sebapa arwah telah terhalang dengan adanya anak lelaki arwah.

Bila saya katakan begitu, baru En S terdiam.  

Perbalahan-perbalahan ini kadangkala menjadi lebih teruk apabila kejadian tuntut menuntut ini dibawa ke mahkamah.

Habis musnah kasih sayang antara keluarga. Harta pun tak dapat, keluarga pula berpecah belah.

 

Kesimpulan

Perancangan harta adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya akan memudahkan urusan si mati dan juga waris.

Jika si mati telah merancang hartanya semasa hidup, maka tidak perlu risau akan masalah hutang yang tidak dilangsaikan, malah hartanya menjadi manfaat pula kepada yang masih hidup.

Pahala pun terus menerus masuk ke dalam ‘akaun’ si mati.

Waris pula tidak perlu runsing akan kos menguruskan harta pusaka yang sangat mahal.

Lalu proses menjadi mudah dan cepat. Seterusnya akan membantu mengurangkan sedikit masalah harta terbeku dan tidak dituntut oleh waris.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.